MAAF kepada semua kerana dalam beberapa hari ini terutama pada bulan ini dan bulan depan, saya agak sibuk sehingga memungkinkan saya tidak mampu memberi komitmen 100% kepada blog ini dan team Bloggers Pembela Negara (BPN) atau lawatan saya ke blog-blog sahabat sekelian. InsyaAllah, saya akan cuba sedaya upaya akan membaca dan membalas segala teguran, komen, pendapat, kritikan mahupun shortbox dalam blog ini setiap minggu.
Mahasiswa merupakan sekumpulan masyarakat yang sememangnya perlu dipandang atau diambil berat oleh kepimpinan negara sehinggalah ke akar umbi rakyat jelata. Hal ini kerana, mahasiswa merupakan kumpulan rakyat sesebuah negara yang mampu menggulingkan kerajaan sesebuah negara.
Isu yang saya ingin timbulkan ialah, mahasiswa di Malaysia bagaikan terpaksa mengerah keringat untuk 'hidup' di negara ini. Ini berlaku kerana keadaan taraf hidup rakyat di Malaysia termasuklah mahasiswa agak tinggi. Mahasiswa tidak memiliki kuasa beli yang tinggi berbanding masyarakat lain. Mereka majoritinya hanya mengharapkan kepada PTPTN yang secara realitinya tidak mencukupi untuk menyara kehidupan kampus mereka. Bagi pelajar yang menerima biasiswa pula, nasib mereka agak sedikit baik berbanding yang meminjam wang daripada PTPTN kerana biasiswa yang ditawarkan agak lumayan dan mampu menyara kehidupan mahasiswa jika ia pandai diurus. Sebaliknya, jika seseorang mahasiswa itu meminjam PTPTN, sepandai manapun dia dalam urusan kewangan peribadi tetap tidak mencukupi untuk menyara hidupnya.
Oleh itu, saya mencadangkan kepada kerajaan Malaysia di bawah urusan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia kepimpinan YB Datuk Seri Haji Mohd Khaled Nordin agar mewujudkan 'student card' atau 'student Discount Card' khusus kepada mahasiswa di Malaysia. Dengan adanya kad tersebut, maka mahasiswa mampu membeli barangan dengan potongan harga yang bermunasabah dan mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup masa kini.
Sebagai contoh, melalui kad tersebut, mahasiswa mampu menerima potongan harga sekiranya mereka membeli barangan di 7 Eleven, MPH Book Shop, Kamdar, Acer, Hotlink, Celcom, Petronas dan sebagainya. Saya merasakan bahawa dengan penggunaan kad tersebut, maka mahasiswa tidak akan terlalu memikirkan tentang masalah kewangan yang mereka sedang alami saat ini.
Apa pentingnya jika kita memberi diskaun kepada orang awam yang telah bekerja sehingga 50%,60%,70% sedangkan bakal-bakal pewaris kepimpinan negara ini dibiar hidup susah, melarat dan bermasalah serta tertekan...? Mungkin ia perlu untuk memberi kematangan dan latihan kekuatan jiwa kepada bakal-bakal pemimpin ini, namun apa yang terjadi sekarang ialah golongan mahasiswa yang meminjam PTPTN amat-amat terseksa dan terluka dalam derita yang perit dan tiada pilihan. Mereka terpaksa juga menggunakan saki baki apa yang ada demi untuk menggapai cita-cita mereka.
Oleh itu saya menyeru dan merayu kepada kerajaan agar memberi sedikit bantuan demi meringankan bebanan mahasiswa walaupun sedikit. Saya yakin dan percaya bahawa, para mahasiswa akan mengenang jasa YB Datuk Seri Menteri KPT atau kerajaan sekiranya menerima dan melaksanakan apa yang saya cuba cadangkan ini. Harap ia akan menjadi suatu realiti suatu hari nanti.
Salam Mahasiswa
SARFAMS.BLOGSPOT
Selangor Darul Ehsan
*Kepada para sahabat mahasiswa, bolehlah ke blog alternatif saya untuk isu-isu kampus dan setiakawan. Hanya ke senarai blog peribadi saya dan klik pada 'SARFARIZMAL@JANGGUT'. Terima Kasih Atas Sokongan.






























