Program Inap Desa Dan Pesta Pulau Sempena Lima'09
KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Program Inap Desa dan Pesta Pulau akan diadakan sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA'09) pada 1 hingga 5 Dis depan.
Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata program inap desa itu bertujuan menarik minat pelancong tempatan menginap ala kampung di samping menjana pendapatan penduduk setempat.
"Kebanyakkan pelancong tempatan tidak berkesempatan untuk datang ke pameran LIMA kerana faktor hotel yang terhad dan kos penginapan yang mahal. Dengan adanya program ini, pelancong bukan sahaja dapat datang ke pameran itu, malah dapat belajar budaya tempatan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian (MOU) antara penganjur LIMA'09 di Wisma Pertahanan di sini, Selasa.
Beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan penduduk Langkawi berhubung program itu dan rata-rata penduduk bersetuju untuk mengikuti program yang dianjurkan.
Katanya pameran LIMA'09 digunakan sebagai pentas untuk menarik pelancong asing dan tempatan dengan mencerminkan 'Malaysia Truly Asia' dengan program-program yang akan diadakan.
"Kita akan bekerjasama dengan Majlis Tindakan Pelancongan negeri-negeri untuk membawa budaya setiap negeri untuk dipersembahkan pada pameran itu nanti dan pameran itu nanti akan dijadikan satu festival yang dikenali sebagai Pesta Pulau," katanya.
Beliau berkata menerusi Pesta Pulau pula, pasar malam akan diadakan di setiap kawasan pameran untuk mempamerkan budaya masyarakat Malaysia kepada pelancong asing.
Ng berkata satu jawatankuasa khas pelancongan sempena pameran itu akan ditubuhkan di Langkawi bagi melancarkan program-program yang telah diatur oleh kementeriannya sepanjang pameran itu berlangsung.
"Setiap pelancong yang datang ke pameran itu nanti kita berharap mereka akan mendapat satu pengalaman yang indah dan akan datang semula ke Langkawi selepas selesai pameran," katanya.
Beliau turut menegur sikap segelintir pengusaha hotel di Langkawi yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga setiap kali LIMA diadakan.
"Mereka (pengusaha hotel) ini mengambil kesempatan dengan berkata masa inilah masa yang sesuai untuk menuai kerana sebelum pameran ini hotel-hotel di Langkawi kurang pelancong," katanya.
Ng berkata pihak pengurusan hotel perlu menitik beratkan soal menarik minat pelancong datang ke Pulau Langkawi bukan dengan cara menaikkan harga hotel.
Selain itu, pihak hotel turut diminta untuk menyediakan kemudahan seperti spa, pusat mengurut serta aktiviti riadah lain yang boleh memberi satu kenangan istimewa kepada pelancong dengan harga yang berpatutan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Langkawi.
-- BERNAMA






0 Comments:
Post a Comment