Followers

DAULAT TUANKU!

DAULAT TUANKU!
Mencipta sejarah kerana bergelar SPB YDPA kali ke-2

TIANG AGAMA

Friday, July 31, 2009

PERUTUSAN HARI PAHLAWAN

Bismillah hirrahmanirrahim...

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihi...

SELAMAT HARI PAHLAWAN kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyambutnya. Jadikanlah hari ini sebagai suatu hari kepada permulaan untuk kita menginsafi diri kepada para perjuang agama, negara dan bangsa kita yang telah berkorban apa jua demi memastikan agama, negara dan bangsa kita masih kekal sehingga ke saat ini.

Saya mengucapkan selamat hari pahlawan hanya kepada yang menyambutnya sahaja kerana, saya beranggapan bahawa terdapat segelintir masyarakat atau penduduk Malaysia yang tidak menyambutnya atau tidak perduli akannya atau yang lebih teruk terus memboikot sambutan ini.

Bagi saya, sambutan ini bukanlah suatu perkara yang negatif, tetapi ia merupakan suatu hari untuk kita memperingati dan menginsafi diri sendiri dan yang lain akan jasa dan pengorbanan para pahlawan ulung negara. Tanpa mereka, suatu ketika dulu, sudah tentu Malaysia sudah tidak wujud dalam peta dunia seperti sekarang.

Bukan itu sahaja, hari pahlawan ini juga boleh diperluaskan skopnya kepada peringatan kita kepada Baginda Rasulullah SAW iaitu Pahlawan Ulung Tertinggi Ummah Islam dari dahulu sehingga akhir zaman. Kita boleh mengambil sempena hari pahlawan ini sebagai menunjukkan rasa kekaguman kita kepada Baginda dan para sahabatnya. Namun, paling elok ialah rasa bangga dan kagum itu perlu diterapkan sepanjang masa dalam diri setiap manusia.

Semoga roh-roh para pahlawan negara akan ditempatkan di tempat yang tertinggi di Akhirat kelak dengan keizinan Allah SWT. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa para pahlawan negara yang telah kembali kerahmatullah. Semoga kita akan diketemukan dengan para pahlawan negara di Akhirat kelak dengan keizinan Allah SWT.

Juga pengkhususan doa kepada Allahyarham Saad Osman yang telah kembali mengadap Illahi pada suatu tempoh yang lalu, yang telah berjuang dan berbakti dalam Angkatan Tentera Malaysia sehingga ke umur terakhir beliau. Ameen.


Ikhlas,

SARFAMS

Tuesday, July 28, 2009

13 Mei mungkin berlaku lagi pada 1 Ogos ini

Pewaris tukar masa: Puak pro dan anti-ISA berhimpun serentak

Menjelang empat hari lagi demonstrasi besar berhubung Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), kumpulan penyokong akta itu menukar masa berhimpun mereka dari jam 11 kepada jam 2 petang – serentak dengan perhimpunan kumpulan anti-ISA.

Timbalan Presiden II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun memberitahu Malaysiakini, pertukaran rancangan itu diputuskan dalam mesyuarat kumpulan itu tengah hari semalam di ibu negara.

Mesyuarat 12 NGO Melayu itu bertujuan membincangkan persediaan rapi mereka menjelang perhimpunan besar Sabtu ini.

Ditanya sebab perubahan jadual itu, Rahimuddin hanya berkata: “Ia melibatkan hal-hal teknikal. (perhimpunan pada) pukul 11 itu terlalu awal.”

Bagaimanapun, tambahnya, perancangan lain kumpulan itu, termasuk tempat berhimpun dan rancangan bergabung di Dataran Merdeka dan seterusnya menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, tidak berubah.

Pertukaran masa berhimpun itu hampir mengesahkan pertembungan penyokong kumpulan itu dan penunjuk perasaan yang dipimpin Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang.

Keluar garis panduan

Mengikut jadual awalnya, penyokong ISA akan berhimpun di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah hari, dan seterusnya ke Istana Negara.

Bagaimanapun, tiga lokasi tersebut - Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara - adalah kekal, sebelum bergerak ke Dataran Merdeka di mana mereka akan menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki dan berarak ke Istana Negara.

Manakala ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI pula merancang bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah - sebelum bergerak ke Isntana Negara, juga untuk menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, GMI turut mengeluarkan mengeluarkan panduan berdemonstrasi pada hari tersebut kepada peserta mereka – merangkumi persediaan sebelum dan selepas tamat demonstrasi.

Peserta juga diberikan panduan bagaimana menghadapi provokasi dan panduan sekiranya ditahan polis. Mereka juga menyediakan peta laluan kepada peserta.

Bagaimanapun, Rahimuddin berkata, Pewaris tidak akan mengeluarkan sebarang panduan kepada ahlinya kerana mereka “tiada sebarang niat untuk bertembung”.


SARFAMS :


1. Satu sahaja yang ingin ditakuti disini ialah kemungkinan peristiwa 13 Mei 1969 akan kembali berlaku pada 1 Ogos 2009 ini. Perkara ini tidak mustahil akan berlaku sekiranya dilihat dari segi gambaran awal tentang perhimpunan dan pergerakan ISA ini.

2. Perkara ini kemungkinan adalah idea daripada YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin melihat akan ada satu peristiwa dan senario kucar kacir di Malaysia sehingga mengakibatkan kerajaan Malaysia pimpinan YAB Datuk Sri Mohd Najib Razak tidak dapat mengawalnya.

3. Oleh itu, Malaysia akan diisytihar darurat dan proses pengambilan tampuk kepimpinan kerajaan akan dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan konco-konconya.

4. Kita menyeru agar perhimpunan dan perarakan ini diberhentikan dan tidak mewujudkan apa-apa provokasi yang melampau.

Saturday, July 25, 2009

I.S.A masih relevan kah???

ISA masih relevan jaga keselamatan negara

Oleh Abdul Rahman Sulaiman


BANTAHAN terhadap ISA tidak gugat hasrat kerajaan mengekalkan keamanan negara.

Langkah pencegahan perlu dilakukan elak ketenteraman awam digugat golongan berkepentingan

GESAAN supaya kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akhir-akhir ini nampaknya semakin lantang kedengaran bukan saja daripada kalangan pemimpin politik pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bahkan bekas pemimpin kerajaan yang satu ketika dulu bermati-matian mempertahankannya.

Walaupun cadangan itu bukan perkara baru kerana ia sering ditimbulkan dari semasa ke semasa oleh pihak tertentu, keghairahan tuntutan kali ini jelas lebih terancang dan bersungguh-sungguh.

Berita terbaru ialah cadangan menganjurkan perhimpunan besar-besaran di tiga lokasi utama yang belum ditetapkan di Kuala Lumpur pada 2 Ogos ini untuk menyatakan bantahan terhadap akta itu.


Kemuncak kepada perhimpunan berkenaan yang diberi nama 'Himpunan Mansuh' dan dianjurkan oleh sebuah jawatankuasa dianggotai pemimpin parti politik pembangkang, NGO serta mahasiswa, satu memorandum bantahan dijadualkan diserahkan kepada Istana Negara.

Menurut laporan berita portal Pas, Harakahdaily, baru-baru ini parti terbabit sudah meminta ratusan ribu ahlinya menyertai himpunan berkenaan. Ketua Penerangan Pusat parti itu dipetik sebagai berkata bahawa beliau sudah mengarahkan semua ketua penerangan negeri dan kawasan Pas menganjurkan ceramah dan mengedar risalah menggalakkan orang ramai menyertai himpunan yang dicadangkan itu.

Beliau juga mengajak semua NGO dan individu yang prihatin untuk hadir sama. Di samping Pas, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga baru-baru ini menggesa kerajaan agar memansuhkan undang-undang berkenaan kerana katanya 'ISA memberi kuasa besar serta skop yang mungkin terlalu luas untuk pihak berkuasa menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.'.

Berucap ketika menerima ijazah kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Demokrasi pada majlis Konvokesyen Khas di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok minggu lalu, Abdullah dipetik sebagai berkata bahawa sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau menandatangani banyak penahanan tanpa perbicaraan di bawah ISA.

"Dengan kerajaan hari ini ingin pula mengkaji semula keberkesanan serta impak ISA, saya berasa terpanggil untuk memberi pandangan ikhlas mengenai akta ini," katanya.

Satu perkembangan yang cukup menarik ialah apabila diminta memberi penjelasan lanjut beberapa hari kemudian, Abdullah berkata beliau akan memansuhkan akta itu andainya beliau mempunyai masih banyak masa (mungkin bermaksud sekiranya masih berkuasa).

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menegaskan bahawa Malaysia masih memerlukan suatu mekanisme penahanan pencegahan demi keselamatan negara kerana cabaran dihadapi seperti ancaman keganasan merentasi sempadan menuntut perundangan yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan pencegahan.

Seperti yang dijelaskan, ini bukan kali pertama gesaan penghapusan ISA itu disuarakan atas alasan kononnya akta berkenaan menindas, zalim serta menodai hak asasi manusia orang yang ditahan. Mungkin keghairahan tuntutan kali ini ada hubung kaitnya dengan kajian semula yang sedang kerajaan jalankan terhadap akta terbabit seperti yang pernah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Sesetengah pihak mungkin mahu berkongsi pujian apabila keputusan muktamad kerajaan nanti digemari dan diterima rakyat.

Dalam hubungan ini, kerajaan harus lebih berhati-hati dalam menilai keperluan undang-undang peninggalan kerajaan penjajah British itu untuk menghadapi cabaran keselamatan bukan saja untuk masa kini, malah akan datang.

Penyemakan yang dilakukan sekarang tidak semestinya berkesudahan dengan penghapusan akta berkenaan secara total seperti dikehendaki sesetengah pihak. Apa yang perlu dilakukan ialah meminda atau memansuhkan fasal tertentu yang dianggap tidak adil dan boleh disalahgunakan oleh pemerintah, khususnya oleh menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal keselamatan.

Sebagai contoh, kuasa yang diberikan kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan individu yang terbabit dengan kegiatan yang mengancam keselamatan negara dan menggugat ketenteraman awam boleh dikurang atau dihadkan dengan memberi definisi khusus terhadap kegiatan yang dimaksudkan.

Perkara ini bukan tidak pernah dilakukan. Sejak kewujudannya pada 1948, akta berkenaan sudah dipinda beberapa kali untuk disesuaikan dengan keperluan masa. Bermula sebagai senjata untuk mencegah kegiatan subversif komunis pada zaman darurat, ISA didapati berkesan dalam memelihara keselamatan negara semasa Konfrontasi Indonesia pada tahun 1960-an dulu dan berjaya menumpaskan kegiatan militan Kumpulan Al-Maunah, Jemaah Islamiah Malaysia dan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMN) pada awal dekad ini.

Satu lagi kritikan yang sering dilemparkan terhadap ISA ialah kononnya undang-undang ini membenarkan seseorang yang disyaki ditahan tanpa bicara untuk tempoh yang disukai oleh pemerintah. Apa yang perlu difahami ialah ISA adalah undang-undang pencegahan dan bukan hukuman.

Ia bertujuan menyekat bakal pesalah daripada melakukan kesalahan yang boleh mengancam keselamatan negara. Perbicaraan hanya boleh dilakukan apabila seseorang itu sudah melakukan kesalahan secara nyata dan bukan sebelumnya. Apabila seseorang itu sudah melakukan kesalahan dan mendatangkan mudarat kepada negara atau masyarakat, hukuman yang dikenakan oleh mahkamah tidak akan mampu menukar keadaan.

Begitu pun, ini tidak bermakna mereka yang ditahan di bawah ISA, langsung tidak menerima pembelaan. Di bawah peruntukan sedia ada, setiap kes akan disemak secara berkala oleh panel dianggotai orang tertentu termasuk hakim dan mereka yang arif mengenai undang-undang.

Sekiranya, seseorang yang ditahan itu didapati tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara, dia akan diperakukan untuk dibebaskan. Proses ini lebih kurang sama dengan proses perbicaraan di mahkamah. Bezanya cuma perbicaraan dilakukan secara tertutup atas sebab keselamatan.

Sebagai seorang yang pernah ditahan di bawah akta ini, penulis tidak bersetuju untuk ia dimansuhkan sama sekali seperti dituntut pembangkang walaupun keputusan seumpama itu mungkin akan meningkatkan populariti kerajaan.

Tiada siapa yang boleh menduga apa yang menunggu negara pada masa akan datang terutama ketika masalah keganasan masih terus menerus mengancam banyak negara di dunia sekarang.

Betapa beberapa negara, termasuk negara jiran yang tidak mempunyai sebarang undang-undang pencegahan masih terkial-kial untuk menangani ancaman keganasan bukan lagi menjadi rahsia sekarang.

Jelaslah bahawa dalam menilai semula kewajaran ISA, kerajaan perlu memilih antara kepentingan keselamatan negara dengan keperluan untuk menempah populariti.

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama


SUMBER : BERITA HARIAN (Terima kasih)

Friday, July 24, 2009

SEMPENA HARI JADI ORANG NO.1 MALAYSIA

Saya mahu Malaysia lebih makmur, bersatu: Najib


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata hajat pada hari ulang tahun kelahiran beliau ialah melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih makmur dan bersatu.

Perdana Menteri berkata, ia adalah selaras konsep 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

"Saya nak rakyat tahu bahawa mereka mempunyai penyertaan dan dihargai atas sumbangan mereka," katanya ketika diminta mengulas hajatnya sempena ulang tahun kelahirannya ke-56 ketika menghadiri Wacana Cabaran Perdana Kepimpinan Dalam Ekonomi di Hotel Marriot Putrajaya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri diraikan dengan nyanyian selamat hari lahir oleh pengurusan hotel dan upacara memotong kek.

SEMOGA TERUS MAJU DAN DAPAT MEMAJUKAN 1MALAYSIA DATUK SRI.

Friday, July 17, 2009

Mahasiswa@Anak Muda Berdemo...

Malaysiakini.com

Beginilah kehidupan anak-anak muda sekarang. Jika dulu di kampung anak-anak muda suka melepak di tepi-tepi jalanraya sambil mengorat si anak dara dan nyanyi-nyanyi...

Zaman sudah semakin maju, selepas itu tiba pula zaman anak-anak muda nie suka dan tergila-gilakan pelbagai fesyen baju yang ada dalam pasaran. Yang paling hebat ialah meniru fesyen-fesyen gaya artis zaman ketika itulah...

Seterusnya ada pula anak-anak muda yang suka merempit. Tak suka duduk saja dan main-main bola. Lebih suka cabaran, masalah dan suka sangat tak nak dengar cakap orang...

Kalau anak-anak muda yang kurang berpelajaran, merempit adalah aktiviti utama mereka selain melepak... Namun, bagi anak-anak muda yang berpelajaran pula, berdemo di jalan-jalan raya adalah hobi utama mereka... tak kisah kalau kena tangkap atau kena sembur dengan gas pemedih mata, asalkan dapat menghilangkan tenaga, suara, duit dan masa di jalan raya...

Namun, anak-anak muda yang macam ini sebenarnya mempunyai semangat yang kental dan berani menyahut cabaran... Cuma perlu disalurkan ke landasan yang betul ditempat yang betul dalam masa yang betul...

SARFAMS

Wednesday, July 15, 2009

Hindraf bagai 'senjata makan tuan' buat DAP

Oleh Manja Ismail


PENDUDUK Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor berkumpul secara aman bagi menyerahkan memorandum kepada Guan Eng di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) baru-baru ini.

Isu Kampung Buah Pala bukti kelemahan Pakatan Rakyat, hanya pandai tabur janji

APABILA pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) selepas mereka mengetuai demonstrasi haram pada 25 November 2007, parti pembangkang khususnya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan saja paling awal menunjukkan simpati, malah mempertahankan pelbagai tindak-tanduk pertubuhan itu walaupun ia dilihat boleh mencetuskan pergeseran antara kaum di negara ini.

Penahanan lima pemimpin Hindraf mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kemudian dijadikan modal politik pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008 yang menyaksikan kejayaan mereka menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat dan membentuk kerajaan di lima negeri.

Isu peminggiran masyarakat India yang dicetuskan Hindraf dan dimainkan oleh pembangkang ternyata mempengaruhi sebahagian besar pengundi India sehingga hampir semua kerusi MIC jatuh ke tangan pembangkang. Beberapa pemimpin Hindraf termasuk yang ditahan mengikut ISA turut memenangi kerusi atas tiket pembangkang. Sejak itu, Makkal Sakhti yang bermakna kuasa rakyat menjadi slogan dalam ceramah parti pembangkang termasuk Pas.


Walaupun tindakan Hindraf, dalam keghairahannya memperjuangkan hak kaum India di negara ini, menyinggung perasaan sebahagian besar orang Melayu, seperti memorandum 18 perkara kepada Kerajaan Britain dan dakwaan `pembersihan etnik' oleh umat Islam negara ini, pembangkang menjadikan pemimpin yang ditahan itu sebagai 'wira.' Malah, Pas sendiri turut mempertahankan tindakan kurang beradab anggota Hindraf menyerbu Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri Kabinet beragama Islam di ibu negara tahun lalu, bagi mendesak lima pemimpinnya dibebaskan daripada tahanan ISA.

Hakikat bahawa pihak berkuasa bertindak tegas ke atas sesiapa saja termasuk mengharamkan pertubuhan yang dilihat boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan, tidak mereka pedulikan. Bagi kumpulan ini, apa saja yang dilakukan kerajaan tiada yang betul. Langkah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak membebaskan beberapa pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut ISA sejurus selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, turut dipandang serong oleh mereka. Memang menjadi kerajaan, yang terpaksa memuaskan hati semua pihak, tidak semudah pembangkang mempengaruhi rakyat membenci kerajaan.

DAP yang mengetuai kerajaan Pulau Pinang sudah mula merasai kesukaran itu. Lebih menarik perhatian masalah yang dihadapi DAP itu dipercayai didalangi Hindraf sendiri. Kalau selama ini, kerajaan BN sering dituduh tidak bertimbang rasa apabila pihak berkuasa merobohkan penempatan setinggan walaupun selepas mendapat kebenaran mahkamah, perkara serupa turut menimpa kerajaan DAP. Isu penempatan Kampung Buah Pala, Pulau Pinang menguji sejauh mana kesabaran DAP melayan tuntutan Hindraf, pertubuhan yang diharamkan Kerajaan Pusat tahun lalu kerana dianggap pelampau dan perkauman itu.

Isu Kampung Buah Pala atau mendapat jolokan 'High ChaparralŽ itu bukan perkara asing kerana keengganan penduduk berpindah disebabkan kawasan mereka akan dimajukan, sentiasa menjadi masalah. Kes seumpama itu sentiasa berlaku, terutama di negeri kekurangan tanah seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta turut membabitkan orang Melayu dan Cina. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, selepas penduduk dipujuk, diberi pampasan dan kadang kala dibina penempatan baru, mereka berpindah dengan rela hati walaupun penempatan itu mungkin lebih tua usianya daripada Kampung Buah Pala.

Pendekatan yang sama cuba dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang ke atas penduduk Kampung Buah Pala walaupun parti itu sebelum menjadi kerajaan, sentiasa mengetuai bantahan penduduk yang menerima nasib serupa di Selangor dan Kuala Lumpur. Namun dalam kes ini, kerana penduduk Kampung Buah Pala berketurunan India, pemimpin Hindraf menuntut kerajaan Pulau Pinang menggunakan undang-undang negeri mengambil alih semula kawasan itu, membayar pampasan dan mengisytiharkan penempatan itu sebagai warisan pendatang awal masyarakat India � sesuatu yang sukar dipenuhi kerana harga tanah di negeri itu amat mahal.

Ekoran itu, berlaku tuduh-menuduh antara kerajaan DAP Pulau Pinang dengan Hindraf. Sementara Hindraf dilaporkan mengugut dan menuduh Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersifat perkauman berhubung isu Kampung Buah Pala, DAP pula menyifatkan pemimpin pertubuhan haram itu tidak mengenang budi kepada DAP yang berjuang untuk membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut ISA.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy dalam sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, RSN Rayer dan Adun Batu Uban, S Raveentharan minggu lalu mendakwa Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang melarikan diri ke luar negara cuba mengambil kesempatan daripada isu itu dengan meminta kerajaan tidak dikenakan tindakan apabila pulang ke tanah air.

"Sebelum ini, siapa yang berdepan dengan pemaju? Kalau kita tidak buat sesuatu, pemaju sudah roboh rumah tahun lalu. Di mana Hindraf masa itu? Jadi, jangan ugut dan berasakan kerajaan negeri lemah. Kita bertindak dan bersabar mencari jalan penyelesaian.

"Saya berada di sini, bukan di luar negara. Saya tidak minta tolong pihak yang anti-Malaysia. Saya di Malaysia, lawan dan buat di sini. Saya tidak berbohong dan tipu dengan lari ke luar negara, bersahabat dengan ejen untuk menjatuhkan Malaysia . Itu bukan kita," kata Ramasamy ketika mengulas kenyataan Waythamoorthy yang menuduh Guan Eng perkauman.

Kita tidak tahu bagaimana kesudahannya isu ini tetapi berdasarkan kedegilan dan tindak-tanduk pemimpin Hindraf sejak dua tahun lalu, mereka mungkin terus menangguk di air keruh daripada isu penduduk Kampung Buah Pala ini. Yang jelas, hubungan antara DAP dengan Hindraf yang terjalin erat sejak sebelum pilihan raya umum lalu tidak lagi semesra dulu. Barangkali juga, kerajaan Pulau Pinang mula memahami kenapa pihak berkuasa terpaksa bertindak tegas kepada Hindraf sejak mereka mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur dua tahun lalu

SUMBER : BERITA HARIAN

Monday, July 13, 2009

Macam-macam: Askar bertaruh seks atas kapal tentera laut

MELBOURNE: Tentera laut Australia menyiasat dakwaan bahawa kelasi lelaki menganjurkan perjudian dan menawarkan hubungan seks dengan rakan sejawatan wanita jika menang judi, kata Timbalan Perdana Menteri, Julia Gillard, semalam.

Gillard mengesahkan laporan bahawa siasatan tentera laut sedang dijalankan mengenai perjudian itu di kapal HMAS Success dan bimbang ia akan menjadi penghalang kepada wanita menyertai tentera.

“Kami tidak mahu melihat sesuatu yang menghalang wanita mempunyai karier yang baik dalam angkatan tentera,” kata Gillard kepada stesen televisyen Channel 10. - AFP

Friday, July 10, 2009

H1N1 : TANGANI WABAK

AdDinOleh Idris Musa

idris@hmetro.com.my


BERMULA di Mexico, virus selesema babi menular ke seluruh dunia dengan angka mangsa semakin meningkat dalam tempoh yang singkat, sekali gus membangkitkan kebimbangan banyak pihak.

BERMULA di Mexico, virus selesema babi menular ke seluruh dunia dengan angka mangsa semakin meningkat dalam tempoh yang singkat, sekali gus membangkitkan kebimbangan banyak pihak.

Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kumulatif kes melebihi 70,000 dengan lebih 300 kematian.

Negara paling teruk seperti Amerika Syarikat, Mexico, Kanada, Chile, United Kingdom dan Australia.

Virus selesema babi atau influenza A (H1N1) muncul daripada campuran virus selesema yang asalnya daripada unggas, babi dan manusia yang berupaya menyebabkan jangkitan membawa maut.

Gejala dan tanda jangkitan virus itu adalah demam, batuk, sakit badan serta susah bernafas, selain berlaku di kalangan mereka yang ada kaitan dengan ternakan babi.

Ia dikatakan mudah berjangkit sesama manusia apabila individu dijangkiti batuk dan bersin dengan tidak menutup mulut.

Justeru, sebagai langkah pencegahan, setiap individu sewajarnya menjaga tahap kesihatan dan kebersihan tanpa mengira waktu dan tempat.

Dalam Islam, kebersihan amat ditekankan sebagaimana sabda Nabi s.a.w, maksudnya: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman."

Berhubung wabak khususnya yang membawa maut, baginda bersabda, maksudnya: "Jika anda mendengar mengenainya di satu tempat, jangan ke sana, tetapi jika wabak itu berlaku di sebuah negeri di mana anda berada, terus berada di situ, jangan lari dari tempat itu."

Kemudian, al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, yang Nabi s.a.w, bersabda, maksudnya: "Unta-unta menderita kerana penyakit (kudis atau kurap) tidak seharusnya bercampur dengan unta-unta yang sihat."

Hadis itu menerangkan mengenai pengasingan atau kuarantin antara haiwan yang baik dan berpenyakit. Dalam kes manusia, ia memerlukan lebih pemerhatian.

Kerajaan prihatin dengan masalah itu dengan mengambil beberapa langkah pencegahan.

Usaha itu selaras dengan saranan hadis di atas, malah menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ia bertepatan dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata saranan supaya orang ramai tidak berkunjung ke negara dilanda virus H1N1 juga patut diikuti serta dipatuhi.

"Garis panduan berkaitan kaedah pengawalan wabak penyakit itu berdasarkan hadis Nabi Muhammad yang diriwayatkan Abdullah bin Amir supaya orang ramai tidak ke sesuatu tempat dilanda wabak dan jika berada di sesuatu tempat dilanda wabak pula, seseorang itu hendaklah kekal berada di situ.

"Cara dilakukan ini selaras tuntutan Maqasid Syariah atau objektif syariah," katanya.

Penularan kes terbabit semakin meluas, malah dalam waktu sama mengundang pelbagai tanggapan dan andaian di kalangan penduduk. Sesetengah juga membataskan pergaulan dan urusan dengan khalayak bagi mengelak jangkitan.

Tidak kurang masyarakat Islam mempersoalkan kefarduan dalam ibadat seperti solat berjemaah dan Jumaat, sama ada ia gugur atau tidak kerana bimbang penularan wabak itu.

Profesor Syariah di Universiti Alexandria, Dr Muhammad Kamal Imam, berkata selesema babi adalah wabak global merebak ke beberapa negara di seluruh dunia dan tidak terbatas di tempat asalnya.

"Apa yang diisytiharkan WHO tidak membabitkan sebarang kuat kuasa undang-undang, namun ia boleh dikatakan yang semua langkah penting dan berjaga-jaga seharusnya diperhatikan di tempat penyakit cepat tersebar.

"Tetapi masih tidak membayangkan gugurnya kefarduan menghadiri solat Jumaat. Ini kerana penduduk (di kawasan terbabit) boleh terus bekerja dan bertemu di rumah, malah mengerjakan solat Jumaat di mana-mana," katanya.

Profesor Fiqah Perbandingan Universiti Al-Azhar, Dr Sa'd Hilal, berkata menghadiri solat Jumaat adalah tanggungjawab individu setiap lelaki Muslim dewasa, siuman dan mastautin, bukan pengembara yang tiada keuzuran syarie bagi meninggalkannya seperti sakit.

Menurutnya, individu Muslim dilarang meninggalkan solat Jumaat kerana perintah mengerjakannya termaktub dalam al-Quran, sebagaimana ditegaskan dalam surah al-Jumu'ah.

"Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." (Al-Jumu`ah 62:9)

Dr Sa'd berkata, walaupun perisytiharan WHO (sebagai wabak) memerlukan pemerhatian berhati-hati, orang Islam tidak boleh mengabaikan solat Jumaat dan solat berjemaah, kecuali wabak tersebar luas.

Menurutnya, mereka yang menghadiri solat Jumaat dan solat jemaah perlu berwaspada, misalnya menghindari berjabat tangan atau menahan diri daripada berpeluk dan berkucup satu sama lain (di tempat yang teruk).

"Mereka perlu mengelak semua bentuk yang boleh membawa kepada pemindahan jangkitan," katanya.


SUMBER : HARIAN METRO

Monday, July 6, 2009

Islamkah Michael Jackson?






"Semoga Allah sentiasa bersamamu, Michael," kata Jemaine Jackson ketika mengumumkan kematian adiknya.

Kenyataan Jermaine itu menggamit jutaan ulasan daripada umat Islam yang mengharapkan wujudnya hubungan antara ikon pop itu dengan Islam.

Kematian Michael Jackson pada usia 50 tahun menjadi satu acara global hingga memperlahankan Internet dan dalam beberapa kes, menyebabkan laman web tergendala.

Sejumlah besar masyarakat Islam dari seluruh dunia turut menyerbu laman net Islam yang berpusat di Barat dengan harapan pertama, untuk memastikan sama ada laporan mengenai Michael memeluk Islam itu benar dan sama ada mayatnya akan dimandi dan disembahyangkan seperti yang dilakukan ke atas setiap orang Islam yang meninggal dunia dan kedua, untuk mengucapkan takziah dan meluah rasa sedih dengan cara masing-masing.

Persoalan mengenai hubungan Michael dengan Islam berada dalam pemikiran kebanyakan orang Islam dan sebahagian besar mereka memang berharap dan yakin dia benar-benar memeluk Islam.
Jika benar, memang patut umat Islam berdoa agar roh Michael dicucuri rahmat Allah swt.


Terdapat beberapa petunjuk yang menunjukkan Michael Jackson memang memeluk Islam.

Abangnya Jermaine memeluk Islam sejak lebih 20 tahun lalu dan bercakap secara terbuka mengenainya. Pada 2005, Michael menetap hampir setahun di Bahrain, negara Islam. Pada November 2008. beberapa agensi berita melaporkan penyanyi itu memeluk Islam dalam satu upacara ringkas di Los Angeles.

Bagi kebanyakan masyarakat Islam, keputusan Michael menetap di Baharain dan muncul dengan berpakaian burqa mengesahkan dia memeluk agama itu.

Tetapi, ada juga tanda menunjukkan laporan keislaman Michael itu tidak benar.

Peguam Michael di New York, Londell McMillan, ketika mengulas laporan akhbar pada November tahun lalu, menafikannya.

"Mengarut. Ia langsung tidak benar," kata McMillan kepada wartawan.

Tetapi, beberapa tokoh Islam masih berkeras mempertahankan keislaman penyanyi itu, termasuk seorang imam Amerika Syarikat, Imam Zaid Shakir yang menulis beberapa hari selepas kematian Michael: "Seorang rakan baik yang boleh dipercayai menelefon dan berkata, Michael sudah memeluk Islam. Ketika itu, dia cuba menghasilkan album bersama seorang pemuzik terkenal Islam, Dawud Wharnsby dan seorang lagi penghibur Islam. Menyedari Michael berdepan dengan masalah dan tertekan, kedua-duanya mengajak Michael memeluk Islam. Dia menerima pelawaan itu dan memeluk Islam pada 21 November 2008. Michael bukan asing dengan agama itu kerana sudah didedahkan oleh abangnya, Jermaine yang memeluk Islam pada 1989."

Malangnya, 'sumber yang boleh dipercayai' Zaid Shakir mengenai cerita itu adalah tidak benar. Dalam blognya, Dawud mendedahkan, dia tidak pernah menemui Michael Jackson.

"Ramai yang menghubungi saya untuk bertanyakan hubungan peribadi saya dengan Michael Jackson. Pada 21 November 2008, akhbar the Sun (UK) melaporkan, Michael memeluk Islam menerusi persahabatan dengan saya dan rakan saya, Idris Phillips ketika satu sesi rakaman di Los Angeles. Untuk pengetahuan umum: Walaupun, terbabit dalam bidang yang sama, namun saya tidak pernah mendapat penghormatan untuk menemui Michael secara peribadi, atau berhubung dengannya mengenai profesyen, kehidupan peribadi atau agama," kata Dawud ketika mengulas kematian Michael dalam blognya.

Terdapat juga laporan yang mendakwa seorang pemuzik Islam yang hadir pada majlis itu ialah Yusuf Islam atau Cat Stevens. Yusuf Islam juga menafikan mengetahui mengenai keislaman Michael.

"Bertentangan dengan khabar angin yang disebar akhbar, saya tidak pernah terbabit dalam sebarang majlis pengislaman Michael. Saya juga percaya Dawud Wharnsby dan beberapa nama, termasuk Idris Phillips, yang disebut dalam laporan itu, juga tidak terlibat.

"Saya berada di Los Angeles ketika khabar angin itu tersebar - tetapi saya sibuk dengan rakaman video untuk lagu baru, Boots and Sand.

"Saya pernah menemui Jermaine Jackson, abang Michael yang memeluk Islam beberapa tahun lalu. Bagi Michael, saya berharap dia mendapat ketenteraman dan kembali membuat muzik yang boleh memberi inspirasi kepada generasi," kata Yusuf tidak lama dulu.

Dalam erti kata lain, keghairahan masyarakat Islam, interaksi Michael dengan keluarga diraja Arab dan kewartawanan yang buruk mungkin menyumbang kepada laporan mengenai keislaman Michael.

Sementara kenyataan Jemaine pada sidang akhbar (Semoga Allah sentiasa bersama kamu, Michael), tidak ada kena mengena dengan keislaman penyanyi itu kerana ia mungkin ucapan spiritual peribadi Jermaine dan caranya tersendiri untuk mengucapkan selamat tinggal kepada adiknya.

Hanya Allah saja maha mengetahui isi hati hambanya dan Dia juga yang berhak mengadilinya.


SUMBER : HARIAN METRO

Sunday, July 5, 2009

Tarikan LIMA 09

Program Inap Desa Dan Pesta Pulau Sempena Lima'09

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Program Inap Desa dan Pesta Pulau akan diadakan sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA'09) pada 1 hingga 5 Dis depan.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata program inap desa itu bertujuan menarik minat pelancong tempatan menginap ala kampung di samping menjana pendapatan penduduk setempat.

"Kebanyakkan pelancong tempatan tidak berkesempatan untuk datang ke pameran LIMA kerana faktor hotel yang terhad dan kos penginapan yang mahal. Dengan adanya program ini, pelancong bukan sahaja dapat datang ke pameran itu, malah dapat belajar budaya tempatan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian (MOU) antara penganjur LIMA'09 di Wisma Pertahanan di sini, Selasa.

Beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan penduduk Langkawi berhubung program itu dan rata-rata penduduk bersetuju untuk mengikuti program yang dianjurkan.

Katanya pameran LIMA'09 digunakan sebagai pentas untuk menarik pelancong asing dan tempatan dengan mencerminkan 'Malaysia Truly Asia' dengan program-program yang akan diadakan.

"Kita akan bekerjasama dengan Majlis Tindakan Pelancongan negeri-negeri untuk membawa budaya setiap negeri untuk dipersembahkan pada pameran itu nanti dan pameran itu nanti akan dijadikan satu festival yang dikenali sebagai Pesta Pulau," katanya.

Beliau berkata menerusi Pesta Pulau pula, pasar malam akan diadakan di setiap kawasan pameran untuk mempamerkan budaya masyarakat Malaysia kepada pelancong asing.

Ng berkata satu jawatankuasa khas pelancongan sempena pameran itu akan ditubuhkan di Langkawi bagi melancarkan program-program yang telah diatur oleh kementeriannya sepanjang pameran itu berlangsung.

"Setiap pelancong yang datang ke pameran itu nanti kita berharap mereka akan mendapat satu pengalaman yang indah dan akan datang semula ke Langkawi selepas selesai pameran," katanya.

Beliau turut menegur sikap segelintir pengusaha hotel di Langkawi yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga setiap kali LIMA diadakan.

"Mereka (pengusaha hotel) ini mengambil kesempatan dengan berkata masa inilah masa yang sesuai untuk menuai kerana sebelum pameran ini hotel-hotel di Langkawi kurang pelancong," katanya.

Ng berkata pihak pengurusan hotel perlu menitik beratkan soal menarik minat pelancong datang ke Pulau Langkawi bukan dengan cara menaikkan harga hotel.

Selain itu, pihak hotel turut diminta untuk menyediakan kemudahan seperti spa, pusat mengurut serta aktiviti riadah lain yang boleh memberi satu kenangan istimewa kepada pelancong dengan harga yang berpatutan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Langkawi.

-- BERNAMA

Wednesday, July 1, 2009

JOM SOKONG KONSEP 1MALAYSIA.

Filem 'Jomlah C.I.U.M' dukung semangat 1Malaysia

TIDAK salah jika perkara pertama terlintas di benak semua orang ketika membaca judul filem Jomlah C.I.U.M! adalah adegan bercium.

Bagaimanapun, jangan salah faham. Sebenarnya Jomlah C.I.U.M adalah singkatan untuk Jomlah.... Cari Identiti Untuk Malaysia dan filem ini cuba mengupas keindahan tiga agama yang dianuti rakyat negara ini iaitu Islam, Buddha dan Kristian dan Buddha.

Pengarah muda GB Sdn Bhd, M. Subash yang juga merupakan saudara baru berkata, filem tersebut diberi judul komersial sedemikian bagi menarik perhatian orang ramai.

Apa yang lebih penting, katanya, filem itu yang sarat dengan semua ajaran agama dapat menyatupadukan rakyat negara ini.

"Bila kita berkata tentang Malaysia, apakah sebenarnya identiti rakyat negara ini? Rakyat negara kita terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

M. Subash

"Objektif utama filem ini adalah untuk memahami Malaysia...selari dengan aspirasi '1Malaysia' slogan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," jelas Subash.

Subash juga mempersoalkan samada rakyat Malaysia hipokrit dan di manakah hala tuju kita?

Filem ini, kata Subash, mungkin berjaya membantu kita memahami jiwa kita sebagai rakyat Malaysia.

"Filem ini sedikit sebanyak memberi kesedaran tentang pentingnya perpaduan rakyat menerusi agama untuk mencapai 1 Malaysia," katanya pada majlis pratonton filem Jomlah C.I.U.M di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor semalam.

Hadir sama ialah penerbit GP Sdn. Bhd. Surenthar dan barisan pelakon seperti Ibrahim Mat Isa sebagai ustaz, Hajah Maimunah Ahmad (Nenek), Wahi Aziz (cucu Nenek), Kenchana Devi (Rahib Kristian) dan M. Subash (Sami Buddha).

Wahi Aziz, M. Subash, Surenthar, Ustaz Ibrahim Mat Isa dan Hajah Maimunah Ahmad. - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

Filem ini mengisahkan usaha seorang ustaz buta untuk membina sebuah surau untuk membawa golongan muda-mudi yang sesat ke jalan yang diredhai Allah.

Walaupun buta, ustaz berpendapat ajaran agama dapat menyelesaikan masalah sosial seperti penagihan dadah dan samseng jalanan.

Oleh kerana menghadapi masalah kewangan, ustaz melekat poster dan mengedarkan risalah untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada orang ramai.

Ustaz berasa terharu apabila mengetahui sami Buddha (pengarah muda Mannaan Subash) dan rahib Kristian (aktres Kenchana Devi) sanggup menolong ustaz untuk membina surau tersebut.

Filem Genius Parade itu merupakan karya ketiga produksi kecil itu selepas "Pensil" dan "Syirik". Penggambaran dijalankan di sekitar Hulu Langat, Semenyih dan Kuala Lumpur selama empat hari ini.

M. Subash memberitahu, filem itu menelan kos pembikinan berjumlah RM200,000-RM250,000 itu dan ia akan ditayangkan mulai 23 Julai ini.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan pelakon Cina dan bangsa lain dalam filem itu dan hanya penampilan pelakon berbangsa Melayu dan India, beliau menjelaskan, isu itu sepatutnya tidak timbul kerana bangsa Malaysia tidak diklasifikasikan mengikut kaum.

"Boleh saya katakan hala tuju filem syarikat adalah menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum," katanya.


Sumber : M Star Online

Label SARFAMS...>

1Malaysia (19) Agama (31) Akhbar (63) Al-Quran (6) Allah (10) Altantuya (3) Anwar (35) Anwar Ibrahim (1) artis (3) ASPIRASI (1) AUKU (22) Bahasa (4) bajet (1) Bapa Demokrasi Malaysia (1) belia kampung (1) Bendera (2) BERSIH (5) Bertanding (5) Blogger Pembela Negara (BPN) (4) BN (18) bola sepak (1) buah-buahan (1) Bush (1) calon (7) DAP (5) Datuk Paduka Abu Bakar Taib (1) Deepavali (1) DNA (1) Dr.Mahathir (16) DUN (2) FaceBook (4) Forum (2) gaji menteri (1) gaji PM (1) gambar (3) GMUKM (3) Hak istimewa orang Melayu (2) hiburan (1) Iblis (1) IPTA (35) Islam (28) Israel (1) jenayah (1) kampus (12) kedah (14) Kelab PESEPSI (2) kerajaan Malaysia (9) kesihatan (1) Ketua Pemuda (4) Ketua Umno (4) Ketuanan Melayu (3) Khairy Jamaludin (2) khaled nordin (8) komunis (1) KPM (1) KPT (22) kristian (2) lagu (1) Langkawi (9) Lawak (1) Lynas (1) Mahapolitk (1) Mahasiswa (98) Majlis Raja-Raja (1) Makanan tambahan (1) Malaysia (6) masalah sosial (1) Mat Sabu (1) MB (7) MCA (1) media baru (1) Melayu (8) MIC (1) Minyak (2) MPP (12) Mufti (1) Mukhriz (3) Muslimat PAS (1) Najib (27) negara (1) negeri (2) Obama (2) Pak Lah (11) Pakatan Rakyat (7) Palestin (1) PAS (39) PDRM (1) Pekerjaan (1) Pelajar (2) Pemimpin (13) pemuda (1) Pengajian Tinggi (1) Perdana Menteri (7) PERKASA (1) Perutusan (2) pilihanraya (15) Pilihanraya kampus (12) PKR (16) PM (2) PMUKM (3) politik (241) politik kampus (29) politk (7) PR (2) Presiden (14) PTPTN (1) Puisi (1) Ramadhan (2) Razak Baginda (2) Rehat (2) Renungan (3) Resolusi (1) Rosmah (2) Rukunegara (1) Sabah (1) Samy Vellu (1) santai (16) Sarawak (3) Sarfa (10) SIRI KHAS (4) SPM (1) STPM (1) sukan (1) Sultan (2) syiah (1) Takziah (1) tazkirah (2) Tengku Razaleigh (1) The Star (2) TV (3) Ucapan (9) UKM (18) UMNO (64) universiti (3) USA (3) usahawan (2) USM (1) Utusan Malaysia (5) video (2) Wan Azizah Wan Ismail (1) Wanita (1) yb (2)