MASYARAKAT mahasiswa di Malaysia sedang dan akan menempuh musim cuti semester bagi sesi ini. Kebanyakan daripada mereka akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman tidak kira di Utara, Selatan, Timur, Barat mahupun Borneo.
Dengan pelbagai raup wajah yang ceria, suka duka, masam manis, riang tawa, nangis, semuanya akan dibawa pulang bersama ke kampung tercinta.
Selain membawa pulang emosi atau perasaan yang pelbagai, secara sedar mahupun tidak, masyarakat mahasiswa yang mempunyai kepelbagaian disiplin ilmu dan pengalaman ini juga akan sentiasa membawa pulang pengetahuan dan kepakaran masing-masing ke kampung halaman masing-masing.
Persoalannya ialah sejauh manakah masyarakat mahasiswa ini mampu mengadaptasi atau mempraktikkan segala pengetahuan dan kepakaran masing-masing untuk digunakan dalam proses pembangunan masyarakat setempat?
Tidak dinafikan memang ramai yang bergelar mahasiswa di kampung-kampung seluruh Malaysia, namun tidakkah masyarakat sedar bahawa kadang-kadang yang bergelar mahasiswa ini hanya berfungsi sebagai 'penduduk' sahaja di sesebuah kampung dan tidak lebih daripada itu.
Apa yang ingin disarankan ialah, masyarakat mahasiswa harus dengan lapang dada dan positif minda membantu memajukan masyarakatnya sendiri.
Masyarakat setempat juga harus menggunakan peluang modal insan yang ada ini untuk bersama-sama dalam satu pasukan untuk menjadikan masyarakat setempat itu sebagai sebuah masyarakat yang maju, cerdik dan berdaya maju menjelang Wawasan 2020.
Dalam menjayakannya, mahasiswa dan masyarakat setempat haruslah bersama-sama dalam satu semangat, satu tekad dan satu hala tuju untuk kesejahteraan bersama.
Semoga para pemimpin masyarakat dan mahasiswa menyedari akan hakikat ini dan mampu mengubahnya dengan sebaik mungkin sehingga menjadi sebuah 'budaya cuti semester'. Namun, kedua-dua masyarakat (masyarakat mahasiswa dan masyarakat setempat) haruslah bersama berganding bahu dan bermuafakat seperti pepatah Melayu yang berbunyi 'tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi'.
Salam 1Malaysia Untuk Semua
SARFARIZMAL MD SAAD
Presiden Sahabat 1Malaysia UKM
Sumber : Utusan Malaysia 30 April 2010 muka surat 14








