Zaid digesa mohon maaf secara terbuka kepada Sultan
KUALA LUMPUR 6 Mei - Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor hari ini mendesak Penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam tempoh 24 jam.
Ketua Wira Perkasa Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah berkata, kenyataan yang dibuat oleh Zaid itu adalah melampau dan tidak menghormati institusi Kesultanan Melayu.
Sehubungan itu, katanya, gabungan NGO Selangor turut mendesak kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil tindakan ke atas Zaid.
"Jika kepimpinan tertinggi PKR tidak mengambil tindakan terhadap beliau, kami akan menganggap kenyataan Zaid adalah pendirian rasmi dari PKR dan keseluruhan kerajaan pakatan pembangkang,'' katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan ibu pejabat PKR di sini hari ini bagi membidas kenyataan Zaid dalam blognya yang mempersendakan titah perintah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik.
Dalam kenyataan itu, Zaid mendakwa kenyataan titah Sultan Selangor bersifat peribadi dan bukan arahan rasmi kerana tidak merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Tambah Zaid, perlembagaan menetapkan sultan tidak boleh mengeluarkan perintah secara terus, sebaliknya disalurkan melalui Majlis Agama Islam negeri terlebih dahulu dan bermesyuarat sebelum mewartakan keputusan itu sebagai peraturan sah.
Sementara itu, Penasihat Undang-undang Majlis Gabungan NGO Pembela Negara, Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz menyifatkan pandangan Zaid sebagai seorang peguam adalah salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa sultan adalah ketua kepada Hal Ehwal Agama Islam di negeri yang bersultan.
"Menurut perlembagaan, sultan sememangnya bertindak ikut nasihat kecuali dalam beberapa hal sultan di negeri boleh bertindak secara bersendirian mengikut budi bicara baginda tanpa perlu merujuk kepada sesiapa.
"Apa-apa tugas baginda sebagai Ketua Agama Islam, baginda boleh bertindak secara bersendirian dengan budi bicaranya,'' katanya.
Sejumlah 30 orang yang terdiri daripada 16 NGO terlibat dalam perhimpunan itu.
Antaranya adalah Gabungan Graduan Melayu Muda, Persatuan Kebajikan Islam Selangor dan Pertubuhan Pembela Perlembagaan Persekutuan.
Sumber : Utusan Malaysia
KOMEN :
1. Datuk Zaid Ibrahim dalam kenyataan dia yang mengatakan bahawa titah KDYMM Sultan Selangor melarang menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik adalah sebagai pandangan peribadi dan bukannya arahan yang patut dipatuhi adalah merupakan kenyataan BIADAP dan ANGKUH terhadap Raja-raja Melayu dan Ketua Agama Negeri Selangor.
2. Jelas menunjukkan bahawa Zaid Ibrahim mempunyai sifat sombong diri dan menganggap dirinya itu menandingi orang lain.
3. Saya beranggapan bahawa Zaid Ibrahim cuba menjadi hero dalam Pakatan Rakyat dimana ingin juga mengeluarkan kenyataan yang sama 'level' dengan Tuan Guru Datuk Hj Nik Aziz Nik Mat. Dengan kata lain, dia pun ingin menjadi jaguh dalam gelanggang PR juga.
4. Adakah Zaid Ibrahim tidak belajar atau lupa akan pelajarannya bahawa dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor telah menyatakan bahawa KDYMM Sultan Selangor merupakan Ketua Agama Islam Dalam Negeri Selangor, dan setiap apa yang diucapkan (dititahkan) berkaitan Agama Islam adalah suatu arahan yang wajib dipatuhi sebagai seorang yang beragama Islam dan menetap di Negeri Selangor.
5. Bukankah di dalam Al-Quran ada menyebut yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan setan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya." Oleh itu, janganlah kita dan kamu (wahai Zaid Ibrahim) cuba menderhaka dan tidak mentaati perintah 'Ulil Amri (yakni KDYMM Sultan Selangor) selagi KDYMM Baginda Sultan tidak menitahkan kezaliman, kemungkaran dan kerosakan terhadap Agama Islam.
6. Kerajaan Negeri Selangor seharusnya memandang serius akan perkara ini dan mengambil tindakan yang terbaik kepada Zaid Ibrahim seorang peguam terkenal di Malaysia ini.
7. Semoga kita dijauhi oleh ALLAH SWT dari laknatNya dan fitnahNya, insyaallah. Ameen.
SARFAMS
Selangor Darul Ehsan.